UntukmuIbu
“Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh!
Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik,
yang tak menyusahkan aku?”, marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak
menjawab sepatah apapun. “Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah
dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba
la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak
dengar nasihat orang hah?”, leter ibu lagi.
Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus
membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya.
Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan
rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa
dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. “Sekarang
kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua
tu? Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar
namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di
kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan
hal sebenar. Si ibu semakin bengang. “ Jadi betul la kau yang mulakan
pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah,
rasakan!” Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah
Along menjerit kesakitan.
“Sakit bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi….Bu,
jangan pukul bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar
tidak merotannya lagi. “Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak
rasa sakit?” Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu
menyirat tubuh Along yang kurus itu. “Bu…ampunkan Along bu…bukan Along
yang mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!”, rayu Along dengan suara
yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu.
Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan
tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya
lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi
kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah
hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang
masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada
manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along
memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya
menangis lagi kerananya.
Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak
dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang
tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini
marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua
sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan
memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya.
Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah.
Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua
kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua
itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along
mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya.
Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada
bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi.
Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya.
Walaupun sudah biasa dirotan,
namun tidak seteruk kali ini. Along merebahkan badannya. Dia cuba
memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu
menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat
mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM,
kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di
wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along
sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat
keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati
dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti
hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada
walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf.
Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan
perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan
melayani perasaan, Along terlelap juga.
Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap
dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak
acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia
mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ.
Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu
di bawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu.
Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya
mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik
perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah
ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil
memerhatikan mereka.
“ Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?”
Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan
yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu
yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak
bongsunya itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan
mereka sambil memasang telinganya. “Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu
boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu... Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah
Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik
atas mandi dan tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut. Along
menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak
kesayangan ibu nak balik rupanya…’ bisik hati kecil Along. “Kak Ngah
dengan Alang nak balik ke ibu?”, soalnya lagi masih belum berganjak
dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas
menampakkan kebahagiaan. “Oooo patutlah ibu masak lauk
banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik,
ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan Atih.
Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan
hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk
asrama, balik pun sebulan sekali ja!”, terang si ibu. “Tapi, ibu tak
penah masak lauk macam ni dekat Along pun..”, soal Atih lagi. Dahinya
sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak. Dia mengakui
kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan
dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya.
“Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah
dengan Alang dekat stesen bas.” , arah ibu. Dia tidak mahu Atih
mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan.
Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along.
Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa
yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di
sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang
perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.
**sambungan nyer petang nnt nyer...
No comments:
Post a Comment